IDRIS memakaikan pangkat kepada Jauteh pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
IDRIS memakaikan pangkat kepada Jauteh pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Jauteh Dikun dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Jauteh menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang akan bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sabah antara Jauteh dengan bekas Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad.

Jauteh ketika ditemui berkata, dengan kepercayaan dan tanggungjawab itu, beliau akan gunakan dengan sebaik-baiknya untuk memberi khidmat untuk kecemerlangan PDRM khususnya Kontinjen Sabah.

"Kepada seluruh warga JSJ Kontinjen Sabah, saya ingin merakamkan jutaan ucapan terima kasih atas sokongan dan kerjasama selama saya menjawat jawatan sebagai Ketua JSJ Kontinjen Sabah.

"Teruskan kecemerlangan, kerjasama dan berilah sokongan serta kerjasama sepenuhnya kepada Ketua JSJ yang baharu, SAC Sapii," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, beliau ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas perlantikan, kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 12:13 PM