JAUTEH memakaikan pangkat Superintendan kepada Haris. FOTO Juwan Riduan
JAUTEH memakaikan pangkat Superintendan kepada Haris. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kudat: Polis menyerbu tiga bilik di tingkat tujuh sebuah kompleks beli-belah di Penampang, di sini, selepas disyaki dijadikan pusat panggilan sindiket perjudian atas talian, semalam.

Dalam serbuan Op Dadu pada 12.15 tengah hari itu, seramai 39 orang termasuk 20 wanita warga tempatan, China dan Indonesia ditahan untuk siasatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menyerbu bangunan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terdapat tiga bilik yang berpenghuni dan disyaki menjadi 'calling centre' aktiviti judi atas talian.

"Polis yang menjalankan pemeriksaan di ketiga-tiga bilik itu menahan 39 individu terdiri daripada 19 lelaki dan 20 wanita berusia 20 hingga 40 tahun.

"Mereka disyaki ditugaskan untuk mempromosi perjudian atas talian dengan mangsa dipercayai dari beberapa negara luar," katanya dalam sidang media, di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat antara Deputi Superintendan Robin@Ridzuan Ismail dan Superintendan Mohd Haris Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abdul Rahim.

Jauteh berkata, pihaknya turut merampas peralatan antaranya monitor komputer pelbagai jenama, pemprosesan komputer (CPU) dan telefon bimbit pelbagai jenama.

"Hasil siasatan awal mendedahkan sindiket ini dipercayai sudah beroperasi lebih enam bulan dan premis ini disewa oleh sindiket berkenaan bagi menjalankan kegiatan perjudian 'calling centre'.

"Pekerja diberi gaji RM1,500 dan dibayar melalui akaun. Soal siasat terhadap semua tangkapan mendedahkan mereka bekerja di situ selepas terbaca iklan di Facebook yang menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 4:10 PM