JAUTEH pada sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024. FOTO Adam Arinin
JAUTEH pada sidang media selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024. FOTO Adam Arinin
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Statistik jenayah indeks di Sabah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 782 kes atau 23.34 peratus berbanding 634 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata kes pecah rumah secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan paling ketara iaitu 262 kes berbanding 228 kes pada 2023 bersamaan 12.97 peratus.

"Antara yang menarik perlu diberi perhatian ialah kejayaan menumpaskan empat kumpulan kes pecah rumah iaitu sindiket yang bermotifkan curi peti besi iaitu Geng Arrino, Gurun, Rizal, dan Yogi bagi dua bulan pertama tahun ini.

"Bagi tempoh sama juga kita berjaya menahan 12 suspek dan menyelesaikan 14 kes kecurian peti besi yang menyebabkan kerugian sebanyak RM1.361 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Kontinjen Sabah di Auditorium 5, IPK Sabah di sini, hari ini.

Jauteh berkata, peningkatan kes jenayah ini juga hasil pendekatan Kontinjen Sabah yang memastikan semua laporan polis diterima yang mempunyai unsur jenayah dibuka kertas siasatan.

"Kita mengambil pendekatan membuka kertas siasatan walaupun membabitkan kesalahan kecil yang boleh diklasifikasi tidak memerlukan siasatan (NFA) serta kes yang membabitkan kerugian dan kesalahan kecil.

"Usaha ini adalah bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti dan melihat taburan serta corak jenayah yang berlaku di Sabah seterusnya membolehkan kita merangka strategi yang lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, walaupun Kontinjen Sabah mencatatkan peningkatan indeks jenayah, pada masa sama pihaknya turut merekodkan penyelesaian jenayah melebihi 60 peratus.

Katanya, kontinjen Sabah berjaya menyelesaikan 511 kes daripada keseluruhan 782 kes bersamaan 65.35 peratus.

Sementara itu, Jauteh berkata, pihaknya menggerakkan keanggotaan mencukupi sepanjang Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri membabitkan lebih 1,400 anggota serta pegawainya menerusi pembentukan 'task force' bagi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.

"Seramai 283 pasukan JSPT akan bertugas bagi Op Selamat dengan menumpukan 54 kawasan panas di jalan raya utama seluruh Sabah bermula 8 April depan manakala seramai 1,124 pegawai JSJ menerusi Op Pintu sepanjang Aidilfitri," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 1:41 PM