11 rumah di Kampung Kinabutan Besar, di sini, musnah dalam kebakaran, 6.15 pagi tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
11 rumah di Kampung Kinabutan Besar, di sini, musnah dalam kebakaran, 6.15 pagi tadi. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Seorang ibu nekad mencampak bayi perempuannya berusia 12 bulan dari tingkap rumah sebelum dia meredah api untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran di Kampung Kinabutan Besar, Batu 5 Jalan Apas, di sini, hari ini.

Kejadian pada 6.15 pagi itu mengakibatkan Sumarni Hanafiah, 36, bersama lebih 50 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Menceritakan detik cemas itu, Sumarni ketika ditemui berkata, ketika kejadian api sedang marak dan lantai papan rumah tingkat atas yang terbakar jatuh satu persatu di ruang tamu.

"Kami sekeluarga tinggal di tingkat bawah dan ketika itu api sudah marak dan merebak dengan cepat.

"Saya segera mencapai anak, Nurniah Irdiana Idris dari dalam buaian, sebelum mencampaknya keluar melalui tingkap," katanya yang sangat bersyukur selepas anaknya itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang lagi mangsa, Idar Lanarang, 39, berkata, kedudukan rumah yang rapat dan menyebabkan api marak dengan cepat sehingga 11 rumah diperbuat daripada kayu di kampung itu musnah sama sekali.

"Tidak sampai sepuluh minit rumah kami hangus terbakar tanpa sempat berbuat apa-apa," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stphen Jr berkata, operasi memadam kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.50 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya operasi terkawal pada jam 11.27 pagi.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan sementara punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan:

  • 11 rumah terbakar [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 1:08 PM