Sebuah rumah di Kampung Kilan Pulau Akar musnah dalam kejadian kebakaran.  FOTO BERNAMA
Sebuah rumah di Kampung Kilan Pulau Akar musnah dalam kejadian kebakaran. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Labuan: Seorang lelaki cedera ketika menyelamatkan diri melalui tingkap sebaik menyedari rumahnya terbakar di Kampung Kilan pagi tadi.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi, pemilik rumah Ramlee Mahari, 46, sedang tidur apabila saudaranya yang tinggal berhampiran memecahkan tingkap rumah untuk menyelamatkannya daripada kebakaran yang memusnahkan 80 peratus rumahnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Ismaidi Ismail berkata, sebaik anggota bomba tiba selepas menerima laporan pada 8.10 pagi, mendapati rumah setingkat jenis struktur kekal itu terbakar dan api sedang marak.

"Ada dua orang yang tinggal di rumah itu, anak lelakinya berusia 20 tahun sudah ke tempat kerja apabila kebakaran itu berlaku.

"Mangsa mengalami kecederaan di dahi apabila keluar melalui tingkap selepas menyedari rumahnya terbakar," katanya hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Api dapat dipadamkan pada 8.37 pagi. Bagaimanapun punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:45 PM