ANGGOTA unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan lokasi kejadian kebakaran membabitkan lima rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek Kanan, Klang. FOTO Faiz Anuar
ANGGOTA unit forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan lokasi kejadian kebakaran membabitkan lima rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek Kanan, Klang. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Klang: Bunyi letupan serta percikan api di luar tingkap mengejutkan seorang jiran yang tinggal di hadapan rumah mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran membabitkan lima unit rumah di Lorong Mokhtar, Kampung Delek Kanan di sini, awal pagi tadi.

Abd Rahman Ahmad, 67, yang tinggal berhadapan rumah Ubaidilah Ayob, 48, (mangsa rumah pertama) ketika ditemui di lokasi berkata, ketika kejadian, dia sedang menonton video ceramah agama di telefon bimbit kerana tidak dapat melelapkan mata.

"Biasanya saya tidur awal, sekitar jam 11 malam tetapi tidak tahu macam mana malam tadi saya tidak dapat tidur, jadi saya pun ambil peluang tonton ceramah di telefon bimbit.

"Saya toleh ke tingkap rumah, nampak seperti percikan api di luar, kemudian saya dengar dua hingga tiga letupan. Saya buka pintu rumah dan terkejut mendapati kediaman jiran yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah saya terbakar," katanya.

"Saya jerit minta semua penghuni keluar selamatkan diri. Tidak lama kemudian, ramai yang lari keluar rumah. Saya dan jiran lain cuba hendak tolong keluarkan mangsa di rumah itu namun api sangat marak," katanya.

Menurut Abd Rahman, mereka langsung tidak mendengar jeritan meminta tolong daripada mangsa di rumah pertama itu.

Katanya yang tinggal seorang diri di rumah itu sejak 1984, dia menghubungi bomba jam 3.56 pagi dan ketika itu, api sudah merebak ke rumah kedua.

"Sambil tahan panas, lengan dan sedikit bahagian muka saya melecur, saya telefon bomba dan semasa bercakap dengan anggota bomba itu, api semakin marak dan mula merebak ke rumah kedua.

"Kebetulan rumah kedua berniaga pakaian terpakai, api lebih cepat merebak dan marak. Saya menggigil ketika bercakap dengan anggota bomba berkenaan," katanya.

Menurut Abd Rahman, dia sempat membawa motosikalnya ke lokasi selamat.

Katanya, sebaik anggota bomba tiba, api sudah merebak rumah ke lima.

"Saya mengenali semua mangsa dewasa lebih 10 tahun lalu dan sentiasa bertegur sapa," katanya.

Sementara itu, penghuni rumah ketiga yang sempat menyelamatkan diri, Malik Ismail, 38, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dalam bilik manakala empat lagi rakan serumah tidur di ruang tamu.

"Saya terjaga apabila terdengar bunyi letupan. Saya buka tingkap dan dapati rumah sebelah terbakar.

"Kami terus keluar rumah, tak sempat ambil barang berharga," katanya.

Menurut Malik yang tinggal di situ sejak 2006, dia sering terserempak dengan mangsa setiap kali hendak pergi dan pulang kerja.

Berita berkaitan

Mayat mangsa ditemui dalam kolah air

[UPDATE] 5 mangsa kebakaran dikenal pasti [METROTV]

5 rentung dalam kebakaran [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 4:12 PM