ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan jari kanak-kanak yang tersekat pada lubang tombol pintu. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan jari kanak-kanak yang tersekat pada lubang tombol pintu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Lahad Datu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera selepas jari telunjuk tangan kirinya tersangkut pada tombol pintu di rumahnya, di sini, hari ini.

Kanak-kanak itu dihantar ke hospital untuk bantuan kecemasan, namun pihak hospital gagal menanggalkan tombol yang tersangkut pada jari mangsa sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil untuk memberikan bantuan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.32 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerah ke lokasi mangsa di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Lahad Datu.

"Mangsa masih mengadu kesakitan di wad kecemasan berkenaan dan operasi menyelamat terus dijalankan.

"Pasukan operasi menjalankan operasi mengeluarkan tombol pintu yang masih tersangkut pada jari kanak-kanak terbabit," katanya, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memotong serta menanggalkan tombol pintu itu menggunakan alat pemotong khas.

Katanya, operasi akhirnya berjaya dilakukan pada 1.25 tengah hari sebelum mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sebelum operasi tamat pada 1.14 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:27 PM