Zatul Iffah Zolkiply


Setiu: "Saya pegang tangan anak, nadinya masih ada namun melihat keadaannya yang parah, saya dapat rasakan anak tidak dapat bertahan lama," kata Azman Awang@Setapa, 44.

Azman yang juga anggota dari Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin Kuala Terengganu adalah bapa kepada Muhammad Adif Danial, 10, yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, sebuah basikal elektrik dan pejalan kaki di Jalan Bukit Putera di sini, semalam.

Kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.10 malam semalam turut mengorbankan nyawa pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46, manakala anak saudara Azman iaitu Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13, juga parah.

Menurut Azman, dia yang berada di rumah terdengar bunyi dentuman yang kuat seakan-akan bunyi kemalangan.

Katanya, dia segera ke lokasi kejadian namun terkejut apabila melihat mangsa kemalangan itu adalah anak dan anak saudaranya sendiri.

"Hanya Allah SWT tahu perasaan saya apabila melihat keadaannya dan ketika itu, anak masih bernafas namun keadaannya sangat lemah.

"Saya memang terduduk dan tak boleh nak buat apa-apa selain hanya mampu memegang tangannya tetapi dalam fikiran saya sudah dapat mengagak anak tidak dapat bertahan dan reda dia pergi apabila melihat keadaannya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu di sini malam tadi.

Menurut Azman, menjadi rutin anak kedua daripada lima beradik itu keluar bersama beberapa sepupunya untuk bermain di padang bola berhampiran rumah mereka.

"Mereka ke sana (padang bola) untuk lihat perlawanan bola dan kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Memang tak sangka sebab anak tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sikap periangnya masih sama namun saya terima ujian Allah SWT," katanya.

Jenazah murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Bukit Putera dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Putera sebelum solat Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan dua maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta, sebuah basikal elektrik dan pejalan kaki di Jalan Bukit Putera di sini

Ketika kejadian, Muhammad Adif Danial dan Ahmad Syahiran dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.

 AZMAN ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
AZMAN ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.

Berita berkaitan:

  • Murid maut, sepupu parah, basikal elektrik dilanggar kereta
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:48 AM