ANGGOTA bomba memadam kebakaran 10 rumah dan empat kedai di Jalan Sultanah Zainab, di sini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran 10 rumah dan empat kedai di Jalan Sultanah Zainab, di sini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sebanyak 10 rumah dan empat kedai musnah dalam kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, malam ini.

Kejadian jam 7.22 malam itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Mohd Wildan Azhari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.25 malam.

Katanya, seramai 70 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Tunjong, Kota Darul Naim, Pasir Tumboh Wakaf Bharu, Pengkalan Kubor, dan Tanah Merah bersama sembilan jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Api berjaya dikawal pada jam 9.06 malam dan kedudukan rumah yang rapat menyebabkan kebakaran cepat merebak. Bagaimanapun punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Sehingga kini pihak bomba masih berada di lokasi kejadian bagi memantau keadaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Datuk Mumtaz Md Nawi turut meninjau lokasi kebakaran dan menyampaikan bantuan segera bencana berjumlah RM500 kepada setiap keluarga.

Sementara itu, seorang mangsa, Lim Meng Ann, 50, berkata, ketika kebakaran itu berlaku dia baru pulang dari kerja, manakala anak serta isterinya sedang bersiap untuk makan malam.

"Tidak lama selepas itu, isteri melihat cahaya seperti api yang sedang marak di bahagian belakang rumah dan kami tiga beranak bergegas keluar menyelamatkan diri.

"Pada ketika itu, saya menjerit kepada jiran supaya mereka segera keluar dari rumah masing-masing kerana api sedang marak, pada masa sama saya turut menghubungi balai bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Lebih menyedihkan, saya tidak dapat menyelamatkan barang elektronik seperti televisyen dan mesin basuh milik pelanggan yang dihantar ke kedai untuk dibaiki," katanya.

Seorang lagi mangsa, Marisa Maktar, 31, berkata, disebabkan api terlalu marak, dia tidak sempat menyelamatkan barang keperluan bayinya yang bakal lahir pada 23 November ini.

"Sebelum api merebak, saya sempat melihat empat rumah di hadapan sedang terbakar menyebabkan saya bersama dua anak berusia tiga dan enam tahun serta suami, Wan Mohd Rizuki Wan Mohd Din, 32, bergegas keluar menyelamatkan diri.

"Walaupun tinggal sehelai sepinggan, namun saya bersyukur kami sekeluarga terselamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 10:54 PM