Anggota bomba  bertungkus-lumus memadamkan kebakaran  rumah kayu dua tingkat di Kampung Wakaf Mek Zainab.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran rumah kayu dua tingkat di Kampung Wakaf Mek Zainab.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: “Nasib baik saya sedar cepat (daripada tidur), jika tidak sudah tentu saya rentung,” demikian kata Ahmad Najaha Jukhar, 17, seorang mangsa kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Wakaf Mek Zainab, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang, remaja itu dikatakan sedang tidur di biliknya di tingkat dua rumah berkenaan sebelum berasa biliknya berbahang seperti ada benda yang sedang terbakar.

Katanya, sebaik membuka mata, dia terkejut melihat api sedang marak membakar bumbung dan siling bilik tidurnya.

“Saya terus berlari keluar daripada bilik dan cuba untuk memadamkan api daripada merebak, tetapi tidak berjaya kerana api terlalu marak.

“Saya terus keluar rumah dan mendapati semua ahli keluarga yang berada di rumah ketika itu juga dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Ibunya, Siti Fatimah Mat, 45, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumahnya kerana berniaga di pasar malam di Kubang Kerian.

Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada seorang daripada anaknya sebelum bergegas pulang ke rumah.

“Sebaik tiba, rumah sudah habis terbakar dan melihat anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran.

“Saya bersyukur kerana lapan anak serta cucu di dalam rumah itu dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II, Shamsudin Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada 4.34 petang dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 8:04 AM