Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak menetapkan tempoh lima tahun lagi untuk memastikan bekalan air bersih disalurkan ke seluruh kawasan di negeri ini.

Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai meskipun ketika ini banyak projek penyambungan saluran air tergendala berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, projek bekalan air bersih di semua kawasan menjadi antara fokus utama kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK) yang akan bermula tahun depan.

"Sarawak memohon peruntukan pembangunan RM18 bilion dalam RMK-12 untuk melaksanakan pelbagai projek kemudahan infrastruktur dengan projek bekalan air bersih serta bekalan elektrik secara menyeluruh antara diberi keutamaan dalam peruntukan itu.

"Bekalan elektrik dijangka dapat disalurkan ke semua kawasan di negeri ini pada 2022, tetapi bekalan air akan mengambil masa sedikit dan kita mensasarkan ia akan diselesaikan menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Utiliti dengan Akademi Binaan Malaysia dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak di Menara LCDA, di sini, hari ini.

MoU itu adalah kerjasama pihak terbabit untuk melahirkan pekerja mahir dalam bidang pemasangan dan penyelenggaraan paip air, sekali gus meningkatkan kualiti pelaksanaan projek bekalan air khususnya di kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Dr Rundi berkata, bagi mencapai matlamat untuk menyediakan bekalan air ke semua kawasan di negeri ini, kerajaan negeri merangka Pelan Induk Sistem Bekalan Air dan pelaksanaan Sistem Grid Air.

Beliau berkata, Sistem Grid Air itu dilaksanakan di kawasan tiada bekalan air selain menyelesaikan masalah tekanan air rendah yang kerap berlaku di kawasan pesisir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:02 PM
STEPHEN Rundi (dua dari kanan) menyaksikan Majlis Menadatangani Persefahaman Kementerian Utiliti Sarawak dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di bangunan Wisma Pelita, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
STEPHEN Rundi (dua dari kanan) menyaksikan Majlis Menadatangani Persefahaman Kementerian Utiliti Sarawak dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di bangunan Wisma Pelita, Kuching. FOTO NADIM BOKHARI