KITA Mekar  antara projek pembangunan membabitkan MGB.
KITA Mekar antara projek pembangunan membabitkan MGB.

MGB Berhad (MGB) anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terbabit pembinaan dan pembangunan hartanah memiliki pemangkin kukuh sekiranya memorandum persefahaman (MOU) dengan Sany Alameriah menjadi kontrak rasmi.

Keputusan dijangka keluar menjelang separuh pertama tahun ini.

Kontrak berkenaan membabitkan nilai RM2.9 bilion untuk membekal dan memasang produk pratuang bagi 10,000 unit hartanah di bawah program perumahan Sakani Arab Saudi.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, MGB berkemungkinan meraih lebih banyak kerja perumahan mampu milik kerana kerajaan Selangor menyasarkan pembinaan 60,000 unit perumahan menjelang 2025 di bawah insentif Rumah Selangorku 3.0.

"Bagaimanapun, ia berdepan risiko negatif utama termasuk tempoh berlarutan bagi kos bahan pembinaan yang meningkat dan pelancaran hartanah lebih perlahan daripada jangkaan," katanya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya, MGB sepatutnya menyaksikan pertumbuhan perolehan kukuh lebih 20 peratus tahun ini, dengan disokong keadaan tenaga buruh lebih baik.

"Sebanyak 70 peratus daripada kuota pekerja yang diluluskan iaitu 250 buruh dilaporkan memasuki Malaysia.

"Terdapat juga peningkatan bil peringkat siap bagi sesetengah projek khususnya di KITA @ Cybersouth," katanya.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan buku pesanan pembinaan belum bayar yang terkini sekitar RM1.9 bilion sehingga hujung 2022 iaitu nisbah buku pesanan berbanding liputan hasil sebanyak 3.3 kali ganda.

"Khususnya bagi projek KITA @ Cybersouth, pembangunan perbandaran utama LBS, kumpulan ini merancang melancarkan antara lainnya rumah teres satu tingkat, dua tingkat dan rumah bandar di dalam KITA Bestari yang merangkumi 817 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM418 juta.

"Kami percaya MGB menerima manfaat daripada pelancaran ini disebabkan pembabitannya dalam pembinaan KITA Mekar, KITA Ria, KITA Mesra dan KITA Sejati dengan nilai kontrak kumulatif RM601 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 7:00 AM