Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Kira-kira 200 jemaah menghadiri majlis kesyukuran, bacaan surah Yasin dan tahlil sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-65, di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, di sini, hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah, berkenan hadir pada majlis yang bermula kira-kira jam 12.15 tengah hari itu.

Majlis berlangsung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan Covid-19 dengan setiap jemaah dikehendaki mematuhi penjarakan fizikal termasuk membawa sejadah sendiri selain memakai pelitup muka, merekodkan kehadiran serta membuat pemeriksaan suhu badan.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid; serta beberapa anggota Exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan serta rakyat tempatan.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim mengetuai majlis bacaan surah Yasin dan tahlil.

Majlis kemudiannya disusuli bacaan khutbah serta solat fardhu Jumaat yang dipimpin Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharuddin dengan bilangan jemaah solat Jumaat bertambah sehingga kira-kira 500 jemaah.

RAJA Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (berbaju biru) dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah (belakang, berbaju coklat) ketika hadir majlis kesyukuran, bacaan surah Yasin dan tahlil sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-65, di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
RAJA Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (berbaju biru) dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah (belakang, berbaju coklat) ketika hadir majlis kesyukuran, bacaan surah Yasin dan tahlil sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-65, di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sementara itu, dalam khutbah Jumaat, Badrul Husaini berkata, rakyat Perak amat beruntung dianugerahkan seorang Sultan yang berjiwa ilmuan selain menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat insani, peka kepada rintihan rakyat, dan berusaha memastikan berlakunya keadilan berlandaskan hukum.

Katanya, seiring dengan gelaran Muizzuddin Shah pada Sultan Nazrin, 'muizzuddin' bermaksud 'pemerkasa agama', yang mana berpandukan keinsafan baginda bahawa kuasa pemerintahan ialah amanah daripada Allah, didoakan semoga syiar Islam akan berkembang dan pemerintahan baginda didaulatkan dengan roh Islam.

Teks khutbah Jumaat sempena hari keputeraan Sultan Nazrin bertajuk 'Raja Pemerintah; Payung Kedaulatan Negara" yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu turut dibaca di semua masjid di Perak hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 2:39 PM