ORANG Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (Bersara), Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin (kiri) bersama Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kanan) ketika sidang media Sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak di Laman Seri Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN
ORANG Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (Bersara), Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin (kiri) bersama Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kanan) ketika sidang media Sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak di Laman Seri Ridzuan. FOTO L. MANIMARAN
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 212 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-66 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Mohd Zuki adalah penerima Darjah Dato' Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menyusulinya adalah, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dikurniakan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Ketua Setiausaha Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, bagi Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 15 penerima.

Antara penerima DPMP, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, S M Komathy; Pesuruhjaya Tinggi Kementerian Luar, Zakri Jaafar; Ketua setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa; Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd; Mubarak Ali Gulam Rasul.

Selain itu, turut menerima DPMP, Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Pakar Perunding Bedah Kanan dan Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik

Institut Jantung Negara, Dr Alwi Mohamed Yunus; Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Sunway, Prof Dr Lee Fuh Yen.

Lima menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk Pahlawan, iaitu Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Abd Halim Shaari; Penasihat Pertahanan ATM, Brig. Jen. Safwan@Asri Ismail; Komander Jurutera Medan Barat ATM, Mejar Jeneral Ir. Abdul Hamid Mohd Isa.

Turut menerima DPTS, Pengarah Kesihatan MATM BPK Markas Tentera Darat Malaysia, Brig. Jen. Mohd Ghazalli Mohd Taha serta Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner, Shazeli Kahar.

Di samping itu, tujuh penerima dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 23 penerima, Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 16 penerima.

Sementara Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 45 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 47 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 41 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 10 penerima.

Sementara itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (Bersara), Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak pada tahun ini agak terhad.

Katanya, majlis pada tahun ini akan diadakan di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada waktu solat Jumaat hari ini.

"Sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran majlis kesyukuran yang merangkumi bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat.

"Majlis sama akan turut diadakan di semua masjid Daerah di seluruh Perak, dengan diketuai oleh Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing," katanya pada sidang media khas di Laman Seri Ridzuan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Mohd Zahidi berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan pada satu tarikh yang akan diperkenankan oleh Sultan Perak.

"Rakyat Perak diminta untuk bersama-sama menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak dengan mengibarkan bendera negeri di bangunan pejabat, perniagaan dan kediaman masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 1:25 AM