Shaarani Ismail

Kuala Kangsar: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tidak mengecewakan amanah baginda dan kepercayaan yang diberikan rakyat.

Titah baginda, harapan rakyat yang mahu pemerintahan adil dan saksama berlandaskan undang-undang harus direalisasikan secara bersama oleh semua pihak berkenaan.

“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hakim, ulama, umara, angkatan tentera, polis, badan beruniform yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.

“Demikian jua seruan beta kepada pihak swasta, badan sukarela, kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan serta rakyat keseluruhannya supaya saling bekerjasama memperlengkap usaha pembangunan yang dirintis kerajaan,” titahnya.

SULTAN  Nazrin dan Tuanku Zara Salim  pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak, semalam.
SULTAN Nazrin dan Tuanku Zara Salim pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak, semalam.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-62 Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini, semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 10:22 AM