Shaarani Ismail


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh, hari ini.

Ketibaan baginda pada jam 9 pagi disambut Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormat oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai kanan daripada 103 anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen dipimpin Leftenan Kolonel Anuar Kaliman.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa kawalan kehormatan utama Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Hari Pahlawan 2018. FOTO L Manimaran
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa kawalan kehormatan utama Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen sempena sambutan Hari Pahlawan 2018. FOTO L Manimaran

Ketua kawalan kehormat adalah Mejar Faizal Fadhil, manakala pegawai pembawa panji-panji adalah Leftenan Shafizan Senawi.

Sebaik kawalan kehormat selesai, tiupan Last Post dimainkan dan Jalur Gemilang kemudian diturunkan.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Mejar Titan Abdul Wahab dan diikuti deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawanku’ yang dideklamasikan oleh Leftenan Bakrishah Abdullah yang juga Pegawai Laksana Kapal Diraja (KD) Kinabalu dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebaik selesai, tiupan Rouse kemudian dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat upacara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 4:53 PM