Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan bangunan induk dan asrama puteri sempena Sambutan 100 tahun Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan, di sini.

Baginda turut mengumumkan sumbangan RM500,000 dari Yayasan Sultan Azlan Shah kepada madrasah itu sejurus selesai menyampaikan titah.

Sultan Nazrin bertitah, Madrasah Idrisiah menjadi bukti peranan penting dana wakaf yang perlu dikunjungi dan digerakkan dengan lebih aktif oleh ummah hari ini.

Baginda bertitah, sekolah itu mengabsahkan peranan Raja Melayu melindungi, memelihara, membangun, dan mengembangkan agama Islam selain melambangkan kepentingan rangkaian ilmu dan ibadah.

Baginda turut bertitah, rumah ibadah tidak hanya tertegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi, sebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya.

"Madrasah Idrisiah mengisahkan hasil tuaian daripada rangkaian semangat bekerjasama antara istana, ulama, umara dan rakyat hingga berjaya membolehkan tanah sekepal dijadikan gunung, air setitik dijadikan laut, idea di minda menjadi realiti," titah baginda.

Turut berangkat, adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah.

Hadir sama Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah dalam majlis pelancaran Sambutan 100 tahun Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah ketika bertitah dalam majlis pelancaran Sambutan 100 tahun Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sultan Nazrin bertitah, Madrasah Idrisiah yang dibangun berasaskan konsep wakaf adalah institusi pendidikan Islam Diraja yang pertama di Perak, memberi dimensi baharu kepada sekolah pondok.

Baginda bertitah, lokasi Madrasah Idrisiah yang terletak dalam kawasan istana, melambangkan madrasah itu juga dinaungi secara langsung oleh Paduka Seri Sultan dan didukung bersama oleh para pembesar istana dan ulama.

Baginda bertitah, idea penubuhan Madrasah Idrisiah iaitu sebuah pusat pengajian Islam yang menggabungkan sistem persekolahan moden dengan ciri sekolah pondok tradisional dirintis pada tahun 1917 oleh Sultan Perak ke-28, Almarhum Sultan Idris Mursyidul 'Adzam Shah.

"Allahyarham Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi Haji Tahir (Allahyarham) ialah ulama yang berperanan penting berusaha bersama tenaga pendidik merangka kandungan dan pendekatan pendidikan di Madrasah Idrisiah. "Madrasah yang terletak berhadapan Masjid Ubudiah, berperanan sebagai pelengkap yang merangkaikan peranan masjid dengan program pembangunan insan dan perkembangan ilmu.

"Madrasah Idrisiah yang melangkau usia 100 tahun, adalah khazanah ummah, berstatus antara institusi agama tertua di negeri ini, berperanan sebagai tapak semaian pembangunan minda yang berjaya melahirkan ribuan ulama dan umara," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 12:35 PM