GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Orang ramai disaran mengutamakan keselamatan dan tidak ke pantai di sini untuk menyaksikan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku mulai 9 malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, pihak berkuasa mengeluarkan ramalan fenomena itu sehingga 4 pagi esok dengan ombak berketinggian antara 2.40 meter (m) hingga 2.80m.

Katanya, selain itu, cerapan dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menjangkakan ketinggian ombak antara 3.20m hingga 3.50m di beberapa pantai di Kemaman pada 9.30 malam hingga 4.30 pagi esok.

"Untuk itu, orang ramai tidak disaran menghampiri pantai bagi tujuan merakam gambar dan sebagainya.

"Pegawai dan anggota APM akan terus melakukan rondaan serta pemantauan di beberapa lokasi panas termasuk di Pantai Maimi, Seberang Takir," katanya.

Menurutnya, fenomena air pasang besar dijangka melanda Terengganu sebanyak empat kali pada November dan APM melakukan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 1:59 PM