GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Nerus: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu mengenal pasti lebih 20 kawasan di tujuh daerah berisiko banjir, susulan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal bulan ini sehingga hujung Disember.

Pengarahnya Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, antara kawasan yang berisiko adalah Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu; Kuala Besut dan Kampung Pengkalan Atap di Besut; Kampung Seberang Pintasan di Dungun; Kampung Baru Kemasik di Kemaman; dan Rusila di Marang.

"Kalau ikut maklumat yang kita terima daripada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), air pasang besar dijangka bermula 5 hingga 13 November dan untuk kali kedua akan bermula 19 November hingga 28 Disember, dengan kadar ketinggian ombak dijangka pada 2.4 meter (m) sehingga 2.9 m. Ia boleh mengakibatkan banjir sekiranya air pasang besar berlaku bersama dengan hujan lebat berterusan.

"Jadi APM bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa melaksanakan pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua penduduk di kawasan sekitar yang berisiko itu sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu Mohd Rosman mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan pantai untuk melihat ombak tinggi berikutan ia boleh membahayakan keselamatan mereka.

Pada Isnin (1 November), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memberitahu hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022, susulan peralihan Monsun Timur Laut yang bermula Rabu (3 November) dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 9:13 AM