KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Rawai, Kampung Bukit Damai, Bukit Payong. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Rawai, Kampung Bukit Damai, Bukit Payong. FOTO Ihsan Polis
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Lelaki orang kurang upaya (OKU) maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Rawai, Kampung Bukit Damai, Bukit Payong di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam, mangsa, Mohd Azman Mat Salleh, 43, yang kudung kaki kanan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 dalam perjalanan dari arah Kampung Rawai menghala ke Kampung Padang Limau Nipis.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal jenis Yamaha LC135

"Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang Yamaha LC135 patah tangan dan kaki kiri sementara anak perempuannya yang berusia empat tahun turut cedera.

"Penunggang dan pembonceng Yamaha LC135 dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

"Mayat mangsa dihantar Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 9:33 AM