KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di KM 35.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Serating. (Gambar kecil) Mangsa maut dikenali Iezfa Ierzunizam.  FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan di KM 35.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Serating. (Gambar kecil) Mangsa maut dikenali Iezfa Ierzunizam. FOTO Ihsan Pembaca.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


Marang: Seorang maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 35.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Serating di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, mangsa, Iezfa Ierzunizam Ibrahim, 28, yang bekerja sebagai kerani kedai gunting meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada anggota badan dan muka.

Dua lagi mangsa iaitu pemandu Proton Wira berusia 22 tahun cedera di kepala, muka serta badan manakala pemandu van Nissan Vanette berusia 49 tahun patah paha dan luka di muka.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan cuba memotong sebuah kenderaan ketika di lokasi kejadian.

Beliau berkata, jarak yang terlalu dekat menyebabkan kenderaan dipandu lelaki terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kereta jenis Volkswagen Golf dari arah bertentangan.

Katanya, kereta Proton Wira itu turut melanggar sebuah van jenis Nissan Vanette sebelum merempuh motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa yang berada di belakang van berkenaan.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Dua yang cedera turut dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 11:24 AM