GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kota Bharu: Seramai 30 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa di sini, kini boleh tersenyum lebar apabila pembabitan mereka dalam aktiviti menanam salad dan sawi secara hidroponik melalui kaedah Nutrien Film Technique (NFT) dan Deep Flow Technique (DFT) memberi hasil yang baik.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan Mohd Hanifa Awang Su berkata, projek yang dilaksanakan sejak awal 2019 itu kini membuahkan hasil apabila sejumlah 37.1 metrik tan salad dan sawi mampu dituai setiap kali tiba tempoh matang.

"Ketika ini projek berkenaan mempunyai 22,500 pot salad dan sawi hidroponik. Dua jenis salad iaitu Siamese Lattuce serta Coral Lattuce mendapat permintaan tinggi dan sudah memasuki pasar raya serta kedai runcit sekitar daerah ini dan pusat hasil PPK," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

"LPP Kelantan membantu ahli PPK Pengkalan Chepa sejak awal 2019 menerusi peruntukan berjumlah RM70,000, dan tahun lepas sejumlah RM85,00 lagi peruntukan ditambah," tambahnya.

Mengulas mengenai sistem yang digunakan Mohd Hanifa berkata menerusi sistem hidroponik, sayuran tidak mengambil masa yang panjang untuk dituai, dengan sawi hanya mengambil masa 25 hari manakala salad cuma memerlukan 40 hari.

"Tempoh 25 hari untuk sawi dan 40 untuk salad itu bermula dari semaian biji benih menggunakan medium '' dan dipindahkan selepas tempoh seminggu ke rumah perlindungan hujan yang diperbuat untuk kalis serangga menggunakan peneduh Ultra Violet (UV) plastik," katanya.

Mohd Hanifa berkata, kejayaan PPK Pengkalan Chepa kini menjadi contoh kepada beberapa persatuan bukan sahaja di Kelantan, malah di negeri lain.

"Projek ini dijadikan pendua () ke PPK Kuala Krai, malah model yang sama juga turut dipindahkan ke PPK di negeri lain seperti Pulau Pinang.

"Nampaknya sayuran di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands kini boleh ditanam di kawasan biasa, cuma dengan kaedah dan juga 'resepi' pembajaan yang tersendiri mengikut tanaman," katanya.

Mohd Hanifa LPP serta PPK Pengkalan Chepa juga bersedia untuk berkongsi kemahiran penanaman sayuran tanah tinggi itu dengan sesiapa sahaja yang berminat.

"Sistem itu sesuai untuk pertanian bandar dan set yang ada sini sesuai untuk kebun di bandar yang mana ia disediakan dan direka oleh PPK Pengkalan Chepa dan turut dibekalkan kepada jabatan, pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 5:31 PM