SUKARELAWAN menyediakan bantuan kepada rumah kebajikan. FOTO Ihsan Nur Anisah Johari
SUKARELAWAN menyediakan bantuan kepada rumah kebajikan. FOTO Ihsan Nur Anisah Johari
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Niat murni empat sahabat bersaing mengejar akhirat membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengumpul dana hampir RM10,000 untuk disalurkan kepada tiga rumah kebajikan dan pusat tahfiz di Johor, Terengganu dan Selangor yang terjejas akibat Covid-19.

Pelajar lepasan Asasi Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil, Nur Anisah Johari berkata, idea berkenaan diilhamkan pengasas kumpulan itu yang juga rakan karibnya, Nur Afiqah Amin Zafri, 19, yang mahu memanfaatkan masa cuti baru-baru ini dengan kerja kebajikan sebelum mereka melangkah ke alam pengajian seterusnya.

"Nur Afiqah mahu mengumpulkan rakan-rakan kami yang proaktif untuk membincangkan misi yang hendak dicapai pada musim cuti sebelum kami melanjutkan sarjana muda.

"Pada awalnya, kami berjaya mengumpul 15 sukarelawan terdiri daripada rakan kami di sekitar Selangor saja, namun usaha kami itu turut menarik minat dua lagi rakan, Nurfatin Syafiqah Mohamad Yasin dan Nur Balqis Syahirah Mohd Khalid.

"Akhirnya, Nurfatin Syafiqah berjaya mengumpul 14 orang sukarelawan dari negeri kelahirannya, Johor manakala Nur Balqis Syahirah dari Terengganu pula meraih 10 sukarelawan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dengan kekuatan hampir 40 sukarelawan dari tiga kumpulan mewakili negeri terbabit, mereka menggerakkan usaha mengumpul dana bagi membantu golongan sasaran.

"Nampak macam mustahil, tetapi berkat kerjasama dan pengalaman beberapa peserta yang pernah mengikuti program kebajikan sebelum ini, kami berjaya mengumpul dana dari ketiga-tiga kumpulan ini berjumlah hampir RM10,000.

"Alhamdulillah keseluruhan dana itu sudah selamat kami gunakan untuk membeli barangan keperluan asas serta serahkan kepada golongan memerlukan di tiga negeri terbabit.

"Kami memilih tiga institusi iaitu Rumah Bakti Nur Ain Bangi, Selangor; Pertubuhan Annur Johor Bahru, Johor serta Tahfiz Pusat Tarbiyah Raudhatul Hijrah di Terengganu kerana percaya mereka juga terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

SUKARELAWAN mengumpul dana untuk diserahkan kepada rumah kebajikan. FOTO Ihsan Nur Anisah Johari
SUKARELAWAN mengumpul dana untuk diserahkan kepada rumah kebajikan. FOTO Ihsan Nur Anisah Johari

Katanya, antara resipi kejayaan mereka itu ialah saling bersaing untuk melakukan kebaikan dan kebajikan.

"Mungkin dorongan pensyarah serta ibu bapa masing-masing yang selalu menekankan konsep berlumba-lumba membuat kebaikan menjadi pembakar semangat kepada ketiga-tiga ketua kumpulan dari tiga negeri ini menjayakan misi mustahil ini.

"Usaha yang nampak kecil ini sebenarnya besar di mata masyarakat terutama bagi mereka yang terjejas dengan Covid-19 ini.

"Selepas kejayaan ini, kami berharap dapat menyusun misi kebajikan lagi untuk menyantuni golongan memerlukan pada masa akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:40 PM