BAHIYYA Hanessa. FOTO Aziah Azmee
BAHIYYA Hanessa. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

Selepas popular dalam YouTube dengan video lagu Knock-Knock dan Jampi yang dinyanyikan secara acapella, kumpulan Bahiyya Hanessa akhirnya bergelar penyanyi rakaman.

Bernaung bawah syarikat Sony Music, Bahiyya Hanessa dianggotai 10 gadis manis yang masih menuntut dalam jurusan berbeza di Universiti Malaya (UM).

Mereka ialah Nor Suhaida Sahrani atau Aida, Nor Afiqah Salehuddin (Afi), Waheeda Batrisyia Noor Azlan (Bonn), Saidatul Syahirah Abd Wahah (Syasya), Nurfatin Fauzi (Fatin), Nurul Amaninah Pius (Nina), Azra Afiqah Mohd Amir (Azra), Nur Wafa Amira Hisamudin (Wafa), Siti Nabilah Sallehudin (Bella) dan Nur Fatin Nasuha Azmi (Suha).

Ketua kumpulan itu, Wafa berkata, dia bersama rakan lain menyanyi lagu secara acapella sekadar suka-suka.

“Biasalah, sebagai penuntut universiti ada kala kami berdepan dengan tekanan.

“Jadual kelas yang padat, lambakan tugasan, peperiksaan dan pelbagai aktiviti disertai memerlukan kami mencari terapi diri.

“Oleh itu, minat terhadap nyanyian mendorong kami sepakat menyanyi bersama dan ia berjaya menghilangkan tekanan,” katanya.

Menurut Wafa, mereka tidak sangka rakaman video yang dimuat naik ke YouTube itu menjadi tular hingga Bahiyya Hanessa mula jadi perhatian.

Malah, mengejutkan apabila Bahiyya Hanessa dilamar Sony Music dan kini muncul dengan single sendiri.

Memilih single berjudul Material ciptaan dan lirik bersama oleh Omar K dan Ikhwan Fatanna sebagai taruhan sulung, Wafa berkata, karya itu sangat kena dengan jiwa Bahiyya Hanessa.

“Pembabitan kami (Bahiyya Hanessa) dalam karier seni adalah kebetulan. Tidak pernah terlintas di fikiran kami akan ada single sendiri.

“Walaupun harus membahagikan masa antara pelajaran dan karier nyanyian, kami sudah bersedia menyusun jadual sebaik mungkin.

“Bahiyya Hanessa akan memastikan pelajaran dan nyanyian bergerak seiring demi masa depan dan tidak menghampakan harapan keluarga.

“Kami berterima kasih kepada keluarga yang merestui dan menyokong perjuangan Bahiyya Haneesa,” katanya.

Sehubungan itu, single Material dilancarkan pada Oktober lalu dan video rasminya yang dimuat naik ke YouTube sudah mencatat lebih 93,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 7:01 AM