Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar bandaraya Kuala Lumpur akan ditambah bagi membolehkan pemantauan situasi penting dijalankan.

Ia membabitkan kesesakan lalu lintas, jenayah, banjir dan lain-lain insiden seterusnya menganalisa situasi serta meramal tindakan yang perlu diambil.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ia terbahagi kepada dua fasa iaitu pemasangan 3,000 unit CCTV pada fasa pertama bagi tujuan pemantauan trafik, taman-taman dan pasar awam sekitar ibu negara.

Katanya, fasa kedua pula membabitkan pemasangan tambahan 2,000 unit CCTV untuk kegunaan polis bagi pemantauan jenayah dan akan siap menjelang hujung tahun ini.

MOHD Noradzri Rahmat melihat keadaan lalulinta sekitar jalan raya di Kuala Lumpur dipusat kawalan selepas dinaikan taraf CCTV di Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Noradzri Rahmat melihat keadaan lalulinta sekitar jalan raya di Kuala Lumpur dipusat kawalan selepas dinaikan taraf CCTV di Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad

"Dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini boleh memantau kerosakan jalan, meneliti roadmarking yang pudar, memantau kerosakan lampu jalan dan lampu isyarat, mengesan kesalahan trafik yang menyebabkan kesesakan, memantau pokok tumbang dan sebagainya.\

"Penambahbaikan sistem yang dijalankan adalah untuk kelancaran operasi dan pengurusan bandar hari ini dan masa akan datang," katanya pada Perasmian Kuala Lumpur Command & Control Centre (KLCCC) dan 3,000 Unit Kamera Litar Tertutup (CCTV) di Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Datuk Affendi Zahari dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Shahidan berkata, projek itu turut membabitkan pemasangan 140 pemasangan unit sistem video, 42 unit Panic Button di taman awam dan 78 unit Loud Speaker.

"Ia juga dapat memantau dan mencegah aktiviti vandalisme terhadap harta DBKL serta membantu menambahbaik sistem penyelenggaraan dan perlindungan aset.

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan penjenamaan semula Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) kepada nama baru iaitu Kuala Lumpur Command And Control Center (KLCCC) selari dengan fungsi dan peranan yang semakin berkembang dan menyeluruh.

Katanya, dengan adanya liputan kamera pintar yang meluas serta platform KLCCC itu, ia mendekatkan lagi visi untuk mewujudkan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Sejahtera menjelang tahun 2030.

"Kamera tambahan ini wajar dipertimbangkan untuk meliputi lebih banyak kawasan bagi mengurangkan blind spots serta memaksimumkan penggunaan ciri-ciri dalam sistem yang dibangunkan.

"Kuala Lumpur mempunyai landasan yang kukuh dan saya yakin ia mampu mencapai tahap lebih membanggakan, khasnya dengan penyediaan awal dan dengan meluaskan pemantauan bandar raya menerusi penambahan kamera pintar kepada sistem yang sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:43 PM