GAMBAR hiasan. Orang ramai berkelah dan beriadah bersama keluarga di tepian tasik di Presint 8, 26 September lalu susulan kelonggaran yang diberikan kerajaan selepas Putrajaya beralih ke Fasa Dua PPN. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. Orang ramai berkelah dan beriadah bersama keluarga di tepian tasik di Presint 8, 26 September lalu susulan kelonggaran yang diberikan kerajaan selepas Putrajaya beralih ke Fasa Dua PPN. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Pengunjung Putrajaya diberi ingatan supaya menjaga tingkah laku dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 kerana setiap perbuatan mereka kini diperhatikan 24 jam menerusi mata-mata halus.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari Putrajaya Command Centre (PCC) mampu memastikan kawasan di sekitar Putrajaya selamat kepada pengunjung, selain dapat memantau tahap pematuhan SOP.

"Kini sebarang tindakan tidak bertanggungjawab juga akan dihebahkan di platform media sosial PPj, bukan untuk mengganggu privasi atau mengaibkan tetapi tujuannya lebih kepada memberi kesedaran kepada orang awam bahawa setiap aktiviti pelanggaran peraturan dapat dikesan PPj dan agensi lain," katanya.

Muhammad Azmi berkata, PCC memantau aktiviti pengunjung menerusi kelengkapan seperti 462 unit CCTV, 89 tiang butang panik dilengkapi lampu siren yang menyala dan berbunyi kuat apabila ditekan selain merakam wajah dan perbualan dengan pengadu, serta lebih 100 pembesar suara yang memberi peringatan kepada pengunjung agar patuh SOP seperti menjaga jarak dan memakai pelitup muka serta meleraikan perhimpunan.

"PCC dapat memantau seluruh kawasan Putrajaya terutama di kawasan tumpuan awam untuk melihat aktiviti pengunjung termasuk yang membuang sampah, memancing dan mencantas pokok. Bagi memastikan SOP dipatuhi pengumuman serta-merta dibuat melalui 100 pembesar suara yang ada.

"Jika kawasan tersebut dilihat masih kurang pematuhan SOP meskipun setelah peringatan diberikan, PCC akan berhubung secara langsung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan penguat kuasa PPj bagi menghantar kumpulan peronda ke lokasi serta-merta," katanya.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi mengelak penularan Covid-19 ketika kelonggaran pergerakan kerana negara masih berdepan dengan ancaman pandemik, sekali gus memastikan sekatan pergerakan tidak dikenakan semula kerana kesannya buruk kepada aktiviti ekonomi domestik terutama peniaga kecil.

Dari segi aspek kebersihan, Muhammad Azmi melahirkan rasa kecewa kerana masih ada segelintir pengunjung yang tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah merata-rata walaupun tong sampah disediakan.

Beliau berkata keperluan bertingkah laku baik bukan sekadar bagi mematuhi peraturan sebaliknya satu tuntutan dalam semua ajaran agama khususnya agama Islam dan menyarankan agar setiap pengunjung bertanggungjawab dalam soal kebersihan kerana Putrajaya dibangunkan dengan persekitaran yang cantik dengan objektif bandar hijau.

Katanya PPj akan terus meningkatkan kempen kesedaran melalui media sosial selain turun memberikan pesanan khidmat masyarakat di tempat tumpuan awam dengan kerjasama SWCorp serta Alam Flora Sdn Bhd serta badan bukan kerajaan seperti Generasi Peduli Sampah.

PCC bukanlah baharu, ia ditubuhkan pada 2004 melalui penggunaan telekomunikasi gentian optik berteknologi tinggi buatan Jerman selain CCTV pintar dengan kualiti video berdefinisi tinggi seiring dengan visi menjadi bandar pintar dan selamat, namun segelintir individu masih berani melanggar undang-undang kerana beranggapan mereka tidak diperhatikan atau CCTV tidak berfungsi.

Bagi pengunjung, Elina Malek, 31, pemasangan CCTV di kawasan tumpuan awam amat baik dan selamat kerana jika berlaku kecemasan pertolongan dapat disalurkan.

"Saya tidak pernah tahu ada banyak kemudahan keselamatan di sekitar Putrajaya. Berdasarkan pemerhatian saya ketika menjalankan aktiviti riadah, memang ada nampak kemudahan seperti butang panik tapi saya belum pernah cuba. Saya rasa inisiatif sebegini patut diperluaskan terutama di tempat yang terlindung dan jauh daripada sumber bantuan," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Nur Muhamad Rahim Radzuan, 38, berkata, kemudahan yang disediakan amat bagus kerana seiring dengan visi Putrajaya untuk menjadi bandar selamat.

"Bagi saya CCTV ini boleh memantau keadaan semasa. Sekiranya berlaku kes kecurian, ragut atau perkara tidak diingini, pihak berkuasa boleh menggunakan rakaman CCTV untuk dijadikan bukti bagi tindakan lanjut. Saya rasa kemudahan ini patut dikembangkan di taman awam khusus di tempat yang gelap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 2:24 PM