Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Bekalan air ke 998 kawasan di Lembah Klang yang terjejas dijangka akan dapat disalurkan secara berperingkat bermula 3 pagi hari ini.

Bekalan air ke 998 kawasan di Lembah Klang yang terjejas dijangka akan dapat disalurkan awal dua jam bermula 3 pagi hari ini.

Ia berikutan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Bukit Badong di sini, siap pada 8.15 malam tadi.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja itu dijalankan termasuk penukaran paip utama baharu yang jangka hayatnya antara 27 hingga 30 tahun.

"Proses kerja berjalan lancar sejak dilakukan bermula 9 pagi (semalam). Ia membabitkan 18 kerja utama termasuk sembilan di LRA SSP1.

"Alhamdulilah, semua kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan selesai lebih awal berbanding jadual asal iaitu 11 malam tadi.

"Ini menunjukkan kita mendahului dua jam daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini," katanya ketika sidang media selepas meninjau LRA SSP1, malam tadi.

Amirudin berkata, beliau dimaklumkan kerja di lokaliti hiliran setakat ini mencapai 90 peratus.

"Pelan awal Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini menjangkakan bekalan air akan diagihkan bermula 5 pagi esok (hari ini).

"Proses agihan air selalunya mengambil masa antara lima hingga enam jam selepas kerja penyenggaraan siap.

"Bagaimanapun, ia berjaya disiapkan awal dan membolehkan bekalan mula disalurkan berperingkat pada 3 pagi (hari ini)," ujarnya.

Sebelum ini, dilaporkan 998 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air berjadual sehingga 16 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 12:03 AM
Amirudin meninjau keadaan di LRA SSP1) Bukit Badong, Kuala Selangor hari ini. Foto Amirul Aiman Hamsudin
Amirudin meninjau keadaan di LRA SSP1) Bukit Badong, Kuala Selangor hari ini. Foto Amirul Aiman Hamsudin