Ketua Imam Masjid Al-Ikhlasiah Pantai Dalam, Talhah Ab Aziz, 38, (kiri) melihat bekalan air yang penuh dalam kolah masjid ketika tinjauan air di sekitar Kuala Lumpur semalam. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Ketua Imam Masjid Al-Ikhlasiah Pantai Dalam, Talhah Ab Aziz, 38, (kiri) melihat bekalan air yang penuh dalam kolah masjid ketika tinjauan air di sekitar Kuala Lumpur semalam. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Iskandar Shah Mohamed


BEKALAN air di lima wilayah terjejas susulan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) sudah pulih sepenuhnya.

Ia membabitkan kawasan Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abdul Raof Ahmad berkata, ia berdasarkan pemerhatian pihaknya sehingga jam 6 petang hari ini.

“Bekalan air membabitkan semua lima wilayah itu sudah kembali pulih sepenuhnya.

“Bagaimanapun, wilayah Kuala Lumpur masih berada pada tahap pemulihan sebanyak 98 peratus.

“Segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan pemulihan di lokasi dan premis berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Raof berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua terutama pelanggan yang memberikan kerjasama dalam usaha meningkatkan perkhidmatan bekalan air.

Henti tugas LRA SSP2 itu menyebabkan gangguan bekalan air sejak kelmarin bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna.

Gangguan yang dijangka 86 jam itu membabitkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan terjejas.

Pelaksanaan oleh Air Selangor itu perlu segera dibuat bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Namun ia berjaya diselesaikan segera dan bekalan air pulih secara berperingkat sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 8:27 PM