Penduduk Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Suriyati Son'an, 45, mengangkat air dari tangki Air Selangor Sdn Bhd yang diletakkan di tempat letak kereta perumahan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Penduduk Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Suriyati Son'an, 45, mengangkat air dari tangki Air Selangor Sdn Bhd yang diletakkan di tempat letak kereta perumahan. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Beberapa kawasan perumahan di sekitar ibu kota, mula tiada bekalan air sejak awal pagi ini, berikutan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Tinjauan di Perumahan Awam Seri Negeri Sembilan, Bandar Baru Sentul mendapati hari ini, penduduk mula mengambil air dari tangki yang disediakan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sejak semalam.

Penduduk, Mazlan Mustafa, 64, berkata, bekalan air mula tiada sejak awal pagi ini dan dia sudah mengambil air dari tangki air yang disediakan berhampiran rumahnya.

"Saya sudah tinggal di kawasan ini sejak lebih 40 tahun lalu dan hampir setiap tahun timbul masalah bekalan air.

"Harap masalah ini dapat diatasi sepenuhnya selepas ini kerana saya lihat negeri lain tiada pula isu air seperti yang berlaku di Selangor," katanya kepada di sini, hari ini.

Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSPI, siap dilaksanakan hari ini.

Pengurusan Air Selangor memaklumkan sehingga jam 6 pagi tadi, sistem rawatan air di LRA SSPI sudah distabilkan dan bekalan air mula disalurkan ke sistem agihan bekalan air.

Selain itu, bekalan kepada pengguna akan mula disalurkan secara berperingkat pada mulai 5 petang ini.

Sementara itu suri rumah, Suriyati Son'an, 45, berkata, bekalan air di rumahnya mula kecil dan keruh sejak malam menyebabkan dia menggunakan bekalan air yang disimpan sendiri.

Dia yang tinggal bersama suami dan empat anak berusia enam sehingga 17 tahun, bekalan air mula tiada sepenuhnya pagi ini menyebabkan dia dan anak terus mengambil air dari tangki disediakan Air Selangor di kawasan itu.

"Saya berharap bekalan air di kawasan ini kembali pulih semula segera dan penduduk tidak perlu lagi mengambil air dari tangki lagi.

"Kawasan perumahan ini ramai penduduk yang sudah berusia dan kasihan pada mereka jika masih perlu mengambil air dari tangki," katanya.

Kakitangan swasta, Mohd Izlal Mohd Rayis, 21, berkata dia sudah tinggal di kawasan itu sejak dilahirkan dan mengakui masalah bekalan air sudah sebati dengan penduduk di situ.

"Walaupun Air Selangor memaklumkan mengenai ketiadaan air ini awal, namun ia tetap menyusahkan penduduk dan walaupun ada menyimpan air tetapi tidak cukup dan masih perlu mengambil air dari tangki disediakan," katanya.

Sementara itu tinjauan di sebuah restoran di Bandar Baru Sentul mendapati mereka menggunakan plastik bungkusan untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada pelanggan sejak semalam bagi menjimatkan penggunaan air.

Pengurusan restoran turut memaklumkan jika bekalan air kembali pulih seperti sedia kala hari ini, mereka akan terus menggunakan pinggan dan cawan semula seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 1:34 PM