GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kes varian Delta dan Beta di Kelantan semakin membimbangkan apabila terdapat 52 sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan jangkitan disebabkan varian itu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah keseluruhan sampel varian Delta adalah sebanyak 26 kes termasuk 12 jangkitan yang direkodkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu ini.

Katanya, jumlah kes bagi varian Beta adalah sebanyak 26 kes dan pertambahan kes baharu adalah sebanyak satu kes.

"Pertambahan varian delta ini merisaukan kerana jangkitan ini sudah ada dalam komuniti menyebabkan kes harian Covid-19 di Kelantan masih lagi tinggi iaitu melebihi 1,000 kes sehari.

"Kes varian Delta dan Beta itu membabitkan sembilan daerah iaitu Tumpat sebanyak 14 kes (tiga Delta, 11 Beta); Kota Bharu sembilan kes (tujuh Delta, dua Beta); Tanah Merah lapan kes (satu Delta, tujuh Beta); Pasir Mas tujuh kes (tiga Delta, empat Beta); Pasir Puteh mencatatkan tiga kes Delta;

Machang dan Gua Musang masing-masing dua kes Delta dan Jeli satu varian Delta," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, walaupun tiada sampel yang menunjukan varian Delta di Kuala Krai dan Lojing tetapi kemungkinan varian yang sama juga turut merebak ke jajahan berkenaan.

"Kita menasihatkan masyarakat supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan varian Delta dan Beta semakin menular.

"Walaupun sudah mengambil vaksin, namun kita semua perlu menjaga diri dan kesihatan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan mengumumkan untuk merentas negeri, semua masyarakat di negeri ini dan penduduk yang berada di luar diminta supaya mengikut saranan kerajaan.

Dr Zaini berkata, kerjasama daripada semua diperlukan untuk membendung penularan Covid-19 dan seterusnya membantu Kelantan menurunkan angka jangkitan harian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 4:09 PM