GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 99 kes baharu Variant of Concern (VOC) bagi tempoh 3 Januari lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 91 kes baharu varian Delta dan lapan kes baharu varian Omicron.

"Universiti Kebangsaan Malaysia Medical Molecular Biology Institute (UMBI) mengenal pasti 48 kes baharu VOC yang terdiri daripada 44 kes varian Delta dan empat kes varian Omicron.

"Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGI) pula mengenal pasti 47 kes baharu VOC iaitu varian Delta, manakala Institute of Health and Community Medicine, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) mengenal pasti tiga kes baharu VOC iaitu varian Omicron.

"Sementara itu, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengenal pasti satu kes baharu VOC iaitu varian Omicron," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lapan kes baharu varian Omicron yang dilaporkan terdiri daripada enam kes jangkitan import dengan lima kes jemaah umrah dari Arab Saudi dan satu kes pengembara dari Turki serta dua kes jangkitan tempatan.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 5,760 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan itu, 5,740 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 5,240 kes varian Delta; 253 kes varian Omicron; 233 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

"Bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 9:06 PM