Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) lengkap memakai PPE ketika mengambil sampel ujian saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) PKD SPU di Sungai Dua, Tasek Gelugor di sini. FOTO DANIAL SAAD
Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) lengkap memakai PPE ketika mengambil sampel ujian saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) PKD SPU di Sungai Dua, Tasek Gelugor di sini. FOTO DANIAL SAAD
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan pertambahan sebanyak 134 kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan (VOC).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian yang dikesan itu membabitkan 132 kes varian Delta (B.1.617.2) manakala dua lagi ialah varian Beta (B.1.351).

Menurutnya, pengesanan itu hasil kajian berterusan dilakukan Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Institut MARA (UiTM).

Dr Noor Hisham berkata, ia turut dibantu Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre Universiti Malaya (TIDREC-UM), Institut Genom Malaysia (MGI Malaysia Genome Institute (MGI) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"UMBI-UKM mengenalpasti sejumlah 79 kes yang kesemuanya adalah varian Delta (B.1.617.2), iPROMISE-UiTM (10 varian Delta), TIDREC-UM (Tujuh varian Delta), MGI (satu kes varian Delta) dan IMR kenal pasti 37 varian (35 varian Delta dan dua varian Beta)," katanya dalam Facebook, hari ini.

Menerusi jadual yang dikongsi Dr Noor Hisham, dua kes baharu yang mempunyai varian Beta dikesan di Pahang, manakala bagi varian Delta pula semua negeri mempunyai pertambahan iaitu tertinggi dilaporkan di Johor dengan 43 kes.

Ia diikuti Negeri Sembilan dengan 18 kes, Melaka (15), masing-masing 13 kes di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah, Pulau Pinang (6), Pahang (4), Sarawak (2) dan masing-masing satu di Kelantan, Kedah, Terengganu, Putrajaya dan Perlis.

Katanya, perkembangan itu menjadikan, sehingga kini jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest(VOI) adalah sebanyak 2,386 kes.

"Daripada jumlah yang dikesan berkenaan, 2,366 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 2,128 kes varian Delta; 224 kes varian Beta; dan empat kes varian Alpha.

"Bagi VOI pula, sejumlah 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 5:42 PM