GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua lagi kes varian Delta dikesan di Kelantan semalam dan menjadikan keseluruhan sebanyak tiga kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dua kes baharu itu dikesan di Pasir Puteh.

Katanya, pada masa yang sama, negeri ini juga merekodkan satu kes varian Beta di Pasir Mas dan menjadikan keseluruhan sebanyak 25 kes.

"Keputusan itu adalah hasil daripada 75 sampel yang dihantar JKNK untuk diuji baru-baru ini.

"Baki sampel yang lain masih menunggu keputusan sama ada ia membabitkan kes varian membimbangkan (VOC) atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, maklumat lanjut masih dalam siasatan pejabat kesihatan daerah (PKD) bagi mengesan punca kes.

Dr Zaini menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan varian Delta dan Beta semakin bertambah.

"Walaupun kerajaan memberi kemudahan termasuk makan di kedai, namun kita berharap masyarakat memainkan peranan masing-masing untuk mengekang penularan Covid-19.

"Kita berharap masyarakat sentiasa jaga kebersihan dan tidak mengabaikan saranan kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 9:31 AM