SAARANI. FOTO BERNAMA
SAARANI. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Ipoh: Perak tidak akan menolak 'arus rentas negeri' sebaliknya bersedia menerima kehadiran pelawat dan pelancong sebagaimana hasrat kerajaan untuk membenarkan kelonggaran tersebut apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, pihak berwajib termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemain industri pelancongan akan bersiap siaga dalam mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 sebaik kelonggaran rentas negeri dilaksanakan.

"Dalam mesyuarat (mesyuarat kerajaan negeri) hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi ada bangkitkan mengenai perkembangan ini khasnya yang berkaitan pelancongan.

"Kita lihat pelaksanaan gelembung pelancongan di Pulau Langkawi dan pastinya apabila sempadan dibuka, orang ramai akan ke beberapa tempat tumpuan utama seperti Pulau Pangkor. Maka ada beberapa perkara dibangkitkan termasuk SOP lebih ketat dan penambahan feri untuk mengangkut pelancong.

"Kita tidak boleh tolak kehadiran orang ramai namun tidak bermakna mereka akan terus bebas. Mesyuarat hari ini bersetuju agar semua pihak terbabit mementingkan pematuhan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan negeri di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Nolee Ashilin dilaporkan berkata SOP untuk gelembung pelancongan ke Pulau Pangkor dalam peringkat penyediaan dengan draf SOP terbabit akan diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk disemak sebelum pulau peranginan itu boleh dibuka kembali kepada pengunjung.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Setakat semalam, kadar vaksinasi Covid-19 populasi dewasa merekodkan jumlah 88.4 peratus.

Menurut laman COVIDNOW, sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus rakyat berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 3:02 PM