GAMBAR hiasan. Pulau Pangkor. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pulau Pangkor. FOTO arkib NSTP
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Perak akan mengesyorkan supaya tiada konsep pembelian tiket feri secara 'walk-in' ketika pembukaan gelembung hijau pelancongan bagi destinasi pelancongan Pulau Bebas Cukai (PBC) di Pulau Pangkor pada 1 November hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, tempahan tiket berkenaan hanya boleh dibuat secara dalam talian bagi mengurangkan kesesakan di jeti itu.

"Kami akan syorkan selepas ini tidak akan ada lagi 'walk-in' untuk mengurangkan kesesakan kerana mahu mengurangkan jumlah penumpang menunggu di ruang jeti.

"Mereka (pelancong) mempunyai tarikh dan masa yang sudah ditempah (pembelian tiket) awal. Jadi mereka boleh tahu bila masa menunggu feri di jeti dan ia akan mengurangkan kesesakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan tempat 'rehat dan rawat rider' (3R) bersebelahan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini.

Menurutnya, itu adalah antara kriteria yang akan dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan ketika pengunjung datang untuk melancong di kawasan itu nanti.

"Itu cara untuk mengurangkan kesesakan kerana kita tidak ada cara lain lagi, jika tidak akan ramai orang akan menunggu dan jeti menjadi sesak kerana kawasan terminal memang agak kecil," katanya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, dari segi persiapan secara keseluruhan sebelum pembukaan akan dikendalikan bukan sahaja dari pihak penguatkuasaan kerajaan negeri tetapi juga dari pemain industri di situ.

"Dari segi persiapan persatuan pelancongan yang berada di Pulau Pangkor sudah mengambil inisiatif untuk mengkategorikan mana-mana pengusaha yang sudah bersiap sedia untuk beroperasi. Malah, ada yang mula mengumumkan untuk beroperasi secara berperingkat mulai hari ini.

"Saya dimaklumkan pihak persatuan ada tiga tarikh permulaan iaitu 16 September, November dan akhirnya Disember. Kita melihat persiapan mereka dalam mengambil pendekatan untuk memastikan bukan saja mereka layak dalam aspek pematuhan SOP (prosedur operasi standard) tetapi juga aspek keselamatan.

"Kita melihat mereka mengambil berat dan sangat bertanggungjawab, kita menyerahkan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk menyemak secara bersama dengan operator yang ada di Pulau Pangkor," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Perak menjangkakan pembukaan Pulau Pangkor kepada pengunjung pada 1 November depan berpandukan gelembung hijau pelancongan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:18 PM