Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Tempahan hotel dan penginapan di pulau bebas cukai, Pulau Pangkor meningkat 78 peratus dalam masa enam hari susulan kebenaran merentas negeri sejak Isnin lalu hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kemasukan pengunjung ke pulau berkenaan sepanjang tempoh itu direkodkan seramai 9,888 orang daripada seluruh negara.

Menurutnya, sebelum ini juga ada peningkatan bilangan pelancong ke pulau peranginan itu sejak pembukaan aktiviti pelancongan dalam negeri yang mencatatkan 6,430 pengunjung dan terus meningkat dua kali ganda pada September iaitu 12,879 orang.

"Kita menerima 9,888 penumpang yang masuk ke Pangkor dan dalam masa enam hari kita melihat peningkatan. Sebanyak 78 peratus (tempahan) hotel dan penginapan di Pangkor untuk tempoh itu dengan sebanyak 25 daripada 47 premis yang berdaftar sudah beroperasi, manakala selebihnya beroperasi secara berperingkat hingga November.

"Ini memberikan petanda baik dan keyakinan industri pelancongan khususnya Pangkor dan kluster yang menjadi fokus untuk destinasi pelancongan sudah mula menerima pelancong sekali gus membantu memulihkan industri serta ekonomi pemain industri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan pemantauan dan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di Jeti Lumut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Syamsul Hazeman Md Salleh.

NOLEE Ashilin (kiri) melihat alat pengimbas haba di Jeti Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
NOLEE Ashilin (kiri) melihat alat pengimbas haba di Jeti Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Nolee Ashilin berkata, pelancong ke Pulau Pangkor juga dijangka akan terus meningkat pada minggu akan datang memandangkan pengumuman merentas negeri baru sahaja diumumkan dan kebanyakannya mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung terlebih dahulu.

Katanya, beberapa kemudahan turut diberikan seperti aktiviti rekreasi dibenarkan sehingga 12 tengah malam, manakala pengunjung juga boleh membeli barangan bebas cukai selepas berada di pulau dalam tempoh 24 jam berbanding sebelum ini 48 jam.

"Kita juga akan melihat keperluan menambah perkhidmatan feri mengikut permintaan nanti tetapi kita juga akan mengambil kira faktor sama ada operator di sana sudah bersedia sepenuhnya dan mempunyai bilangan bilik mencukupi," katanya.

Beliau berkata, kadar penginapan di beberapa lokasi lain di seluruh Perak juga menunjukkan peningkatan menggalakkan sejak kebenaran merentas negeri hingga semalam.

"Data diperolehi daripada Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak pula menunjukkan kadar penginapan di Ipoh mencatatkan 50 peratus manakala Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menunjukkan hotel di bawah MPT mencatatkan 56 peratus penginapan.

"Data daripada Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Perak pula menunjukkan penginapan di Ipoh, Tanjung Malim, Tapah, Manjung, Kuala Kangsar dan Taiping mencapai kadar 46 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 12:48 PM