Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Taman tema di seluruh negara dijangka dibuka semula kepada orang ramai selewat-lewatnya November ini selepas kadar vaksinasi mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata keputusan itu bagaimanapun adalah tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, kajian berhubung prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan taman tema sedang dijalankan.

"Persekitaran di taman tema ini dapat dikawal berbanding di pantai yang terbuka. Saya difahamkan kementerian yang terbabit sedang mengkaji dan tidak lama lagi akan ada keputusan berkenaan pembukaan taman tema itu

"Kita sedang melihat kaedah SOP dan pemain industri juga memberi beberapa cadangan. Dalam hal ini, MOTAC bersedia bekerja sebagai satu pasukan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kerajaan negeri dan produk pelancongan," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja sehari di sekitar bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Tambah beliau pemain industri pelancongan ketika ini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Pembukaan ini dapat menghidupkan kembali sektor berkenaan yang terjejas teruk. Taman tema ini adalah penting sebagai tempat hiburan keluarga selepas sudah duduk berbulan-bulan di rumah.

"Ia juga perlu dibuka kerana taman tema memainkan peranan penting dalam pelancongan domestik khususnya membabitkan keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja sehari di sekitar bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 7:14 PM