Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Kerajaan negeri sudah menyiapkan rangka kerja dan bersedia menerima kemasukan pelancong antarabangsa ke Pulau Pangkor sekiranya kerajaan pusat membuka semula sektor pelancongan antarabangsa susulan kejayaan pelaksanaan projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa di Pulau Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, bagaimanapun, kelulusannya bergantung kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Katanya, persediaan ke arah pelaksanaan gelembung pelancongan di Pulau Pangkor sudah dilaksanakan termasuk dari sudut prosedur operasi standard (SOP) dan penubuhan jawatankuasa pemantauan.

"Secara asasnya rangka kerja mengenainya sudah siap, cuma kita sedang menantikan kaedahnya selain perlu menunggu kebenaran daripada MOTAC.

"Kita berbeza dengan Langkawi yang mempunyai lapangan terbang bertaraf antarabangsa tersendiri memandangkan satu-satunya negara yang mempunyai haluan penerbangan dengan lapangan terbang di Ipoh (Perak) hanya Singapura," katanya.

DATUK Nolee Ashilin Mohamed Radzi ketika gimik melancarkan Majlis Pelancaran Platform Zoo Maya 'MyZooTaiping'. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
DATUK Nolee Ashilin Mohamed Radzi ketika gimik melancarkan Majlis Pelancaran Platform Zoo Maya 'MyZooTaiping'. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Platform Zoo Maya 'MyZooTaiping' sempena Sambutan Hari Zoo Sedunia di Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Fakhrul Hatta Musa; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir; dan Pengarah ZTNS, Dr Kevin Lazarus.

Semalam, media melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, projek rintis itu akan dijalankan selama tiga bulan bagi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau peranginan serta kawasan pelancongan lain.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, kewujudan platform zoo secara maya dinamakan MyZooTaiping dijangka meningkatkan jumlah pengunjung ke pusat pelancongan itu, sehingga 20 peratus.

Katanya, dalam tempoh lima hari sejak pembukaannya 18 Oktober lalu, ZTNS menerima 18,000 pengunjung dan angka itu amat memberangsangkan.

"Prestasi ini amat memberangsangkan kerana zoo masih diminati dan kekal menjadi pilihan sebagai destinasi (percutian) keluarga.

"Jadi, platform MyZooTaiping adalah tepat pada masanya. Biasanya apabila seseorang sudah tonton (zoo maya) secara dalam talian, ada kemungkinan mereka akan berkunjung ke zoo secara fizikal dan saya harap 'trend' ini berterusan," katanya.

Nolee Ashilin berkata, platform MyZooTaiping adalah yang pertama seumpamanya di Asia yang terinspirasi daripada pandemik Covid-19, dan ia dapat diakses dengan melayari MyZooTaiping.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 4:20 PM