GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tiada lagi syarat ketat jumlah jemaah berikutan semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat Jumaat mengikut kapasiti masing-masing mulai esok.

Bagaimanapun jemaah dan pengurusan masjid perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ketetapan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Katanya, setiap SOP ditetapkan oleh MKN perlu dipatuhi sepenuhnya termasuk penjarakan fizikal 1.5 meter antara jemaah dan memakai pelitup muka serta membuat pemeriksaan suhu.

"Antara syarat lain ditetapkan adalah ahli jawatankuasa masjid dan surau, petugas keselamatan dan sukarelawan serta jemaah yang hadir perlu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Ahli jemaah juga adalah penduduk tetap yang berusia 18 tahun ke atas dan disahkan sihat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, tadi.

Terdahulu, Aminuddin turut menyampaikan bantuan dan surat hapus kira kepada dua waris bekas pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sebelum ini mendapat pembiayaan pendidikan daripada Yayasan Negeri Sembilan (YNS) selepas pelajar terbabit meninggal dunia akibat kemalangan dan menghidapi penyakit.

Beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata, kerajaan negeri juga membenarkan kelas takmir atau pengajian agama dijalankan seperti biasa di masjid dan surau mulai tarikh yang sama.

AMINUDDIN Harun (kiri) menyampaikan bantuan dan surat hapus kira kepada waris pelajar di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN Harun (kiri) menyampaikan bantuan dan surat hapus kira kepada waris pelajar di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil

Menurutnya, bagaimanapun ia hanya dihadkan bagi tempoh sejam iaitu antara waktu solat Maghrib dan Isya dan sebelum solat Jumaat serta selepas solat Subuh.

Katanya, kebenaran kuliah agama atau pengajian itu bagaimanapun hanya membabitkan guru takmir atauu penceramah dari Negeri Sembilan dan bukannya individu daripada luar negeri ini.

"Ahli jawatankuasa masjid dan surau diminta memastikan tingkap dibuka dan kipas digunakan bagi memberi ruang pertukaran udara dalam masjid dan surau.

"Sebarang bentuk penyediaan makanan hanya dibenarkan secara bungkusan dan setiap jemaah perlu segera beredar sebaik makanan diambil.

"Aktiviti menjamu selera atau jamuan makan di kawasan masjid dan surau dilarang sama sekali," katanya.

Mengenai urusan jenazah, Menteri Besar berkata ia boleh diteruskan dengan kekuatan enam orang untuk mandi manakala solat jenazah dibenarkan mengikut kapasiti kawasan dan sebaiknya ia dilakukan di masjid dan surau serta bukan dibuat di rumah.

"Saya berharap semua pihak dapat mematuhi setiap SOP yang ditetapkan ini sebagai langkah menyekat penularan wabak COVID-19," katanya yang berharap Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 5:30 PM