Mohd Amin Jalil


SOLAT Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di Negeri Sembilan hanya dibenarkan di masjid dan surau terpilih dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Mohamed Husein berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dengan persetujuan Datuk Undang Yang Empat.

"Oleh ancaman pandemik Covid-19 belum tamat sepenuhnya, kebenaran mendirikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hanya dibenarkan bagi masjid dan surau terpilih dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi 12 orang.

"Setakat ini masjid dibenarkan ialah Masjid Negeri di Seremban dan masjid daerah iaitu satu masjid di setiap daerah selain Masjid Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah.

"Pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan ditetapkan pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Bangunan MAINS, Seremban, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli.

Mohamed berkata, berikutan bilangan jemaah terhad bagi kedua-dua solat berkenaan, ia harus terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau terpilih.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, solat sunat Aidilfitri hendaklah dilaksanakan di kediaman masing-masing," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, kebenaran menunaikan solat Jumaat kepada masjid kariah lain perlu dibuat secara berperingkat bagi mengelak kesukaran mengawal keadaan jemaah yang ramai.

"Buat seketika ini, kami membenarkan Masjid Negeri dan masjid setiap daerah serta Masjid Diraja Seri Menanti bagi pelaksanaan solat Jumaat.

"Kami akan memperluaskannya secara berperingkat membabitkan masjid kariah lain kerana ia perlu mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:42 PM