FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Semua masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dibenarkan beroperasi dengan terhad kepada 150 jemaah terawal termasuk pegawai dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid serta petugas keselamatan dan sukarelawan, mulai esok.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata jemaah dibenarkan itu perlu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Surau turut dibenarkan beroperasi untuk masyarakat awam, namun terhad kepada 30 jemaah terawal dengan syarat sama.

"Ini adalah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti solat di masjid dan surau Jumaat di Negeri Sembilan dalam tempoh Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua.

"Kebenaran ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bermula 27 Ogos ini bersamaan 18 Muharram 1443 Hijrah,' katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, setiap jemaah diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka dengan sempurna, membawa sejadah peribadi bersaiz besar, menjaga penjarakan fizikal dan berwuduk terlebih dahulu dari rumah sebelum hadir ke masjid atau surau.

Menurutnya, orang ramai boleh merujuk SOP lengkap melalui saluran rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 10:01 PM