Ganja yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Ganja yang dirampas. FOTO ihsan PDRM
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja untuk pasaran sekitar Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya lapan suspek, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, sindiket itu dipercayai sudah aktif sejak November tahun lalu.

"Sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi membuat serbuan di tepi Jalan Robertson, Bukit Bintang dan menahan sepasang suami isteri warga tempatan pada 4.10 petang.

"Dalam serbuan ini, polis merampas ganja seberat 1,893 gram daripada pasangan suami isteri masing-masing berusia 32 dan 26 tahun itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, hasil soal siasat terhadap mereka membawa kepada dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan berjaya menahan lima lelaki serta seorang wanita tempatan.

"Kita berjaya merampas ganja seberat 5,588 gram dan kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 40 tahun.

"Nilai ganja yang dirampas bernilai RM41,550 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1985. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Noor Dellhan berkata, saringan awal air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Hasil siasatan juga mendapati jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 14,962 penagih dadah. Polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan.

"Kita juga harapkan orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada polis," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-22115999.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 9:45 PM