POLIS menyerbu tiga premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dan menahan 30 wanita warga asing. FOTO ihsan polis
POLIS menyerbu tiga premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran dan menahan 30 wanita warga asing. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 30 wanita warga asing dipercayai pelacur ditahan polis dalam serbuan berasingan di tiga premis di ibu kota di sini, kelmarin.

Serbuan yang bermula jam 7.45 malam sehingga 11.40 malam dijalankan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di premis beroperasi di Jalan Pasar Baharu, Jalan Pudu serta Jalan Imbi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis sebelum itu menerima maklumat mengenai kegiatan pelacuran di premis berkenaan dan menjalankan risikan.

"Hasil serbuan, seramai 30 wanita warga asing berusia antara 23 hingga 59 tahun berjaya ditahan.

"Polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan bagi kegiatan pelacuran termasuk kondom serta wang tunai berjumlah RM400," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam sehingga 18 Disember ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti itu supaya menyalurkannya dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 12:00 PM