AMAN ketika membuat baulu. FOTO/NSTP
AMAN ketika membuat baulu. FOTO/NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: “Sebenarnya, itu salah satu cara saya mempromosikan perniagaan selain membuktikan kepada orang ramai bukan saja wanita, malah lelaki juga mahir menghasilkan kuih tradisional,” kata pengusaha Bahulu Idaman, Abdul Rahman Shahroni, 30, yang gemar memuat naik gambar memakai persalinan tradisional seperti baju pengantin dan kimono ketika menghasilkan baulu.

Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Aman berkata, dia mula memuat naik gambar memakai pakaian tradisional tahun lalu dan dilakukan bagi mencipta kelainan memandangkan persaingan sengit dalam perniagaan baulu.

Katanya, teknik pemasaran itu ternyata menjadi apabila bilangan tempahan diterima semakin bertambah dan pelanggannya kini daripada warga Singapura.

“Saya mempelajari cara menghasilkan baulu daripada isteri, Nur Diyana Azman, 29, ketika masih bekerja di Kuala Lumpur dan mengambil masa seminggu saja untuk mahir.

“Melihat keadaan isteri yang sarat mengandung anak pertama ketika itu, saya nekad berhenti kerja di Kuala Lumpur dan pulang ke Pontian, Johor untuk membantunya menjalankan perniagaan secara sepenuh masa.

“Alhamdulillah, perniagaan kami mendapat sambutan sejak awal lagi dan bagi menarik minat pelanggan, saya cipta kelainan dengan tidak hanya mempelbagaikan rasa baulu tetapi memuat naik gambar berpakaian baju pengantin dan kimono di laman sosial,” katanya yang mempunyai dua anak berumur empat dan enam tahun.

AMAN mempelajari cara menghasilkan bahulu daripada isterinya.
AMAN mempelajari cara menghasilkan bahulu daripada isterinya.

Menurut Aman, kimono dan baju pengantin digayakan itu adalah daripada koleksi butik andaman pengantin yang diusahakan bersama isteri.

Jadi, Aman berkata, kelainan dilakukan itu memberinya peluang mempromosikan dua perniagaan dalam satu masa.

Mengenai keselesaan pula, Aman berkata, dia tiada masalah kerana tidak menggayakan pakaian itu setiap masa tetapi hanya pada waktu tertentu.

“Dulu, kami mempunyai pekerja tetapi kini tidak lagi jadi saya dan isteri perlu bekerja keras bagi memastikan perniagaan ini terus maju tanpa mengharapkan pelanggan ketika musim perayaan semata-mata.

“Dalam erti kata lain, kami perlu kreatif dan bijak mempromosikan sendiri perniagaan dengan tidak hanya menyediakan baulu yang enak serta berkualiti semata-mata.

“Mujurlah isteri tidak kisah dengan apa saya lakukan malah dia sebenarnya yang menawarkan diri mengambil gambar saya dan memuat naiknya di laman sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 7:00 AM