AINI Rusmiza menggubah bunga tangan mengikut permintaan dan kesesuaian pengantin.
AINI Rusmiza menggubah bunga tangan mengikut permintaan dan kesesuaian pengantin.
Nurul Husna Mahmud


BUNGA tangan kini menjadi aksesori penting bagi mengiringi pengantin perempuan ketika berarak mahupun di sesi fotografi supaya tidak nampak terlalu janggal.

Pilihan bunga untuk digubah menjadi aksesori raja sehari itu selalunya padanan bunga simbolik romantis seperti ros, kekwa, teluki, lili dan banyak lagi.

Jika dilihat dari segi amalan penggunaan aksesori bunga tangan, sebenarnya amalan itu terlebih dahulu menjadi sebahagian dalam budaya perkahwinan di negara barat.

Menurut satu penerangan portal dari negara luar, suatu ketika dahulu bunga tangan diceraikan satu persatu sebagai pemberian kepada tetamu. Ia adalah pengganti satu kepercayaan ortodoks yang mana gaun si pengantin dicarik tetamu sebagai azimat 'tuah.'

Selain itu, ada juga menyifatkan bunga tangan menjadi 'perisai' kepada bau badan atau 'aura' yang dapat meningkatkan seri pengantin khususnya bunga segar.

Bagi Pengurus Butik Ilhamku Rose Bridal Bukit Payong, Marang Terengganu, Aini Rusmiza Mohd Yasin, 36, tidak kira penggunaan bunga tiruan atau bunga segar, kedua-duanya penting dalam menaik seri dan menceriakan pengantin.

CUKUP menonjol sebagai aksesori pengantin.
CUKUP menonjol sebagai aksesori pengantin.

"Sejak butik ini beroperasi pada 2011, bunga tangan sudah menjadi aksesori wajib digayakan pengantin. Boleh lihat trend setiap tahun berubah dan ada juga yang mahu mendapatkan khidmat sewaan aksesori terbabit.

"Penggunaan bunga hidup atau tiruan bergantung kepada bajet. Bagaimanapun, penggunaan bunga hidup meskipun lebih berseri, tetapi kaedahnya lebih remeh," katanya.

Tambah Aini Rusmiza, antara trend bagi rekaan bunga tangan untuk tahun ini ialah pengantin lebih menggemari rekaan bunga 'baby breath' dengan gabungan daun atau bunga kering.

"Sebelum ini 'baby breath' hanya bunga sampingan. Sejak pandemik Covid-19, ramai inginkan rekaan lebih ringkas dan rupa 'baby breath' yang kecil serta ringkas itu dijadikan jambangan menepati kriteria terbabit.

"Selain itu, bunga dan daun kering turut menjadi pilihan kepada bakal pengantin kerana 'mood' 'rustic' dan eksentrik dimiliki bunga tangan terbabit," katanya.

Beliau turut berkongsi tip memilih bunga tangan bagi bakal raja sehari:

1. Pilih bunga tangan yang sesuai dengan baju akad nikah

Andai baju nikah pengantin sarat dengan perincian, pilih bunga tangan yang ringkas dan minimalis supaya keterampilan tampak seimbang.

Begitu juga dengan pengantin mengenakan baju akad nikah yang ringkas, pilihan bunga tangan perlu besar dan sarat bagi menonjolkan penampilan raja sehari.

BUNGA tangan ‘trend’ terkini menggunakan elemen daun dan bunga kering.
BUNGA tangan ‘trend’ terkini menggunakan elemen daun dan bunga kering.

BUNGA romantis seperti bunga ros menjadi bunga dalam gubahan bunga tangan.
BUNGA romantis seperti bunga ros menjadi bunga dalam gubahan bunga tangan.

2. Pilih bunga tangan yang sesuai dengan tona kulit

Bagi yang berkulit cerah atau pucat, elakkan dari memilih bunga berwarna putih kerana boleh menenggelamkan pesona pengantin.

Jika masih inginkan bunga tangan putih, padankan dengan kombinasi bunga berwarna seperti merah jambu atau merah hati.

3. Pilih bunga yang sesuai dengan bentuk badan masing masing

Bagi yang berbadan kecil, pilih bunga potongan sama dan tidak terlampau besar kerana khuatir bunga lebih menonjol berbanding pengantin itu sendiri.

Untuk memiliki figura badan lebih besar, bunga yang berjuntai seperti orkid sangat sesuai untuk individu terbabit. Jika tidak gemarkan tumbuhan berjuntai, boleh pilih bunga yang mempunyai batang halus dan panjang seperti tulip.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:42 AM