ANGGOTA bomba memeriksa rumah terbakar di Kampung Baru Kundang. FOTO ihsan Saravanan
ANGGOTA bomba memeriksa rumah terbakar di Kampung Baru Kundang. FOTO ihsan Saravanan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Remaja perempuan maut manakala adiknya cedera selepas rumah didiami terbakar di Jalan Tambahan 2, Kampung Baru Kundang di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa, 19, ditemui dalam keadaan melecur di luar pagar rumah berkenaan manakala adiknya yang berusia tiga tahun turut melecur di badan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati ketika kejadian kedua ibu bapa mereka keluar bekerja.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Kundang ke lokasi kejadian dan mendapati keseluruhan rumah berkenaan terbakar. Terdapat mangsa yang berada di luar pagar rumah dalam keadaan melecur seluruh badan dan tidak sedarkan diri.

"Manakala seorang lagi mangsa turut melecur seluruh badan di bawa ke Hospital Sg Buloh oleh jiran yang berada di lokasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Batu Arang dan Balai Bomba Sungai Buloh dengan kekuatan 14 anggota turut berada di lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.30 tengah hari. Siasatan awal mendapati dua mangsa dalam kejadian itu adalah adik-beradik.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 11:12 AM