Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-kanak perempuan melecur pada bahagian kaki selepas rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, terbakar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang berusia 10 tahun dilaporkan melecur di kedua-dua kaki.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.50 petang sebelum tiba di lokasi 7.02 malam.

"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati terdapat kebakaran di bahagian dapur rumah berkenaan, namun api berjaya dipadamkan dengan bantuan orang awam menggunakan alat pemadam api.

"Malah ketika kami tiba, mangsa dan ibunya juga sudah berada di luar perkarangan rumah mereka dipercayai dibawa keluar oleh jiran mereka ," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khirudin berkata, kebakaran itu turut menyebabkan bahagian dapur rumah terbabit musnah.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 8:18 AM