TIGA pekerja binaan warga Bangladesh melecur akibat kebakaran rumah kongsi didiami mereka, malam ini. FOTO ihsan bomba.
TIGA pekerja binaan warga Bangladesh melecur akibat kebakaran rumah kongsi didiami mereka, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Tiga warga Bangladesh melecur 50 peratus selepas rumah kongsi didiami mereka di tapak pembinaan Jalan Batu View, Selayang, di sini, musnah dalam kebakaran, malam ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Fuad Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7 malam.

"Susulan itu, empat jentera dengan kekuatan 60 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Gombak Selatan, BBP Wangsa Maju dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba tiba pada 7.14 malam di lokasi dan mendapati api sedang marak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah kongsi dihuni pekerja tapak binaan itu dan bomba melakukan kerja pemadaman serta mengawal api daripada merebak.

Menurutnya, kebakaran dapat dikawal pada 7.58 malam, sebelum tiga lelaki didapati melecur 50 peratus dan dihantar ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 9:50 PM