MANGSA yang tangannya melecur dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan 13/10, Taman Koperasi Polis Fasa 1.
MANGSA yang tangannya melecur dalam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Jalan 13/10, Taman Koperasi Polis Fasa 1.
KEADAAN rumah kedai dua tingkat yang terbakar.
KEADAAN rumah kedai dua tingkat yang terbakar.
Nadzreen Shah Mat Salim


Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Bangladesh melecur kedua-dua tangan ketika cuba menyelamatkan dirinya sejurus menyedari terperangkap di dalam bilik yang terbakar.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin, mangsa berusia 35 tahun dikatakan sedang tidur di dalam kedai dua tingkat di Jalan 13/10, Taman Koperasi Polis Fasa 1, di sini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Maarif Saibani, berkata, kejadian disedari orang awam yang segera menghubung Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan bagi mendapatkan bantuan.

Menurutnya, seramai 14 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai yang terletak berhampiran surau AN-Nur di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dia berkata, kebakaran membabitkan rumah kedai yang dijadikan rumah kongsi bagi pekerja pembinaan komuter warga asing.

“Anggota bomba segera memadamkan kebakaran bagi mengelakkan api merebak di unit kedai bersebelahan.

“Terdapat binaan kayu penghadang yang dijadikan bilik untuk pekerja warga asing di dalam kedai yang terbakar itu. Ini menjadi punca api cepat marak,” katanya.

Samsol Maarif berkata, rumah kedai berkenaan mengalami kerosakan 70 peratus dan seorang mangsa melecur ketika cuba menyelamatkan diri.

“Mangsa warga Bangladesh mengalami kecederaan di kedua-dua tangannya akibat melecur sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya, semalam.

Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.21 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:55 AM