RUMAH mangsa terbakar sepenuhnya.
RUMAH mangsa terbakar sepenuhnya.
Mohd Rizal Abdullah

Kuching: Demi kasih terhadap adik lelaki yang kudung kedua-dua kaki, seorang lelaki nekad terjun dari tingkap belakang rumah setinggi hampir lima meter sambil mengendong adiknya itu selepas kediaman dihuni mereka terbakar, kelmarin.

Dalam kejadian di Taman Sky, di sini, rumah yang didiami dua beradik, Jefri Kasim, 52, dan Jamil, 49, musnah sepenuhnya akibat kebakaran pada jam 10.45 malam.

Kebakaran itu juga menyebabkan Jamil yang kudung kedua-dua kaki dari paras betis akibat kencing manis melecur di belakang badan manakala abangnya cedera ringan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang Di Hata Gobel berkata, kesan melecur yang dialami mangsa tidak serius.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana mangsa menghidap kencing manis, rawatan susulan terpaksa dijalankan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, dan dia dirujuk ke Unit Kebakaran.

“Ketika kebakaran, mangsa dikatakan sedang tidur di ruang tamu.

“Abang mangsa yang menyedari rumah terbakar segera mendapatkan adiknya itu dan nekad terjun melalui tingkap belakang rumah,” katanya yang dihubungi selepas melawat mangsa di HUS, semalam.

Mengulas mengenai kebakaran itu, Di Hata berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.52 malam berhubung kejadian terbabit.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikerahkan ke lokasi dan mereka berjaya memadamkan kebakaran pada jam 12.50 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 4:53 AM